KOTA BHARU - Seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Khamis atas pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang tahanan wanita di pejabatnya tahun lalu. Pertuduhan terhadap tertuduh, A Teevagar Gabrialnayagam, 30, dibuat di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Inspektor polis didakwa rogol, lakukan seks luar tabii terhadap tahanan wanita |
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 29 tahun dengan kerelaannya yang diperoleh oleh tertuduh menggunakan kedudukan kuasa terhadap mangsa di bilik pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, pada jam 3 petang hingga 5.30 petang pada 5 Jun 2021.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya pada masa, tarikh dan di lokasi masa.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas wanita sama dengan niat untuk melakukan pencabulan terhadap kehormatannya pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Sementara pada pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap wanita sama tanpa kemahuannya pada jam 2 petang hingga 4.30 petang pada 7 Jun 2021 di lokasi yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tg Sharifudin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 bagi kesemua pertuduhan.
Kes ditetapkan pada 17 Mei depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Tertuduh kemudian membayar ikat jamin berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pegawai polis ditahan selepas dipercayai merogol seorang tahanan wanita yang juga seorang ibu tunggal di pejabatnya di IPD Kota Bharu di sini.
Wanita tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama bersama bekas suaminya kerana dipercayai memiliki pil kuda dan syabu pada 4 Jun lalu.
0 Ulasan