Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Wanita kongsi video sayu tengok bayi orang lain positif Covid-19 menangis... dirawat sendirian...

"Sebagai ibu, saya tak sampai hati nak biarkan saja bayi itu terus menangis lebih-lebih lagi mengenangkannya yang sendirian di wad," kata ibu dua anak, Nur Azrah Azzah Hassan.

TANGKAP layar video Nur Azrah menukar lampin pakai buang bayi perempuan di wad. (Gambar kanan) Nur Azrah bersama dua anaknya.
TANGKAP layar video Nur Azrah menukar lampin pakai buang bayi perempuan di wad. (Gambar kanan) Nur Azrah bersama dua anaknya.

Nur Azrah Azzah, 27, memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah di sebalik video dimuat naiknya di TikTok, semalam.

Video itu menunjukkan Nur Azrah Azzah membantu menukar lampin pakai buang seorang bayi positif Covid-19 yang ditempatkan di wad sama dengannya di hospital dekat Alor Setar, Kedah.

Ramai memuji tindakan itu, namun ada segelintir netizen mengecam tindakan Nur Azrah Azzah dengan menuduhnya cuba mengambil tugas jururawat.

Nur Azrah Azzah yang menetap di Kampung Kubur Panjang, di sini, berkata, dia tahu apa dilakukannya itu melanggar prosedur hospital, namun niatnya hanya untuk membantu bayi itu selain meringankan tugas jururawat.

"Pada mulanya, hanya saya dan anak bongsu (Adyan Amsyar Akmal Hakim, sebulan) saja ada di dalam wad itu dan kami ditahan selepas disahkan positif Covid-19.

"Dua hari kemudian (Ahad), seorang bayi perempuan ditempatkan dalam wad sama dan difahamkan dia baru berusia dua hari, tetapi dirawat sendirian tanpa ada ibu bapa atau waris menemaninya.

"Pada malamnya, bayi itu menangis dengan kuat dan saya pula tidak berani sentuh, jadi saya keluar dari wad dan panggil jururawat bertugas untuk lihat apa puncanya," katanya.

Sementara menunggu jururawat datang, Nur Azrah Azzah membantu menukar lampin pakai buang bagi meredakan bayi yang menangis tanpa henti.

Menurutnya, dia terpaksa menukar lampin bayi itu kerana anaknya turut menangis apabila terdengar bayi itu menangis.

"Bagaimanapun, saya ada beritahu kepada jururawat apa yang dilakukan dan jujurnya, saya hanya bantu tukar lampin pakai buang saja serta tidak langsung mendukungnya seperti didakwa segelintir netizen.

"Jika tidak buat begitu, anak saya akan menangis sama kerana terganggu. Lagipun, hanya tiga jururawat bertugas pada malam itu dan mereka perlu melayan pesakit lain, jadi saya cuba bantu mana yang termampu," katanya.

Nur Azrah Azzah berkata, dia hanya sempat tinggal semalaman saja dalam satu wad bersama bayi itu kerana dibenarkan pulang keesokan harinya.

Sebelum pulang, Nur Azrah Azzah mengakui sebak kerana memikirkan bagaimana keadaan bayi itu pada hari itu dan berikutnya tanpa ibu bapa di sisinya.

"Ketika di wad, saya dapat tengokkan bayi itu dan bantu tenangkannya apabila menangis kerana terfikir mungkin dia tidak selesa di wad atau rindukan ibunya.

"Selepas saya keluar, tak tahu bagaimana keadaan bayi itu dan walaupun ada jururawat bertugas, bukan setiap masa mereka dapat memantau keadaannya.

"Sedih pula memikirkannya kerana anak sulung (Aidan Mikhail Akmal Hakim, 2) dulu pernah ditempatkan sendirian di unit rawatan intensif neonatal (NICU) dan saya boleh bayangkan bagaimana perasaan ibunya yang tidak dapat bersamanya," katanya.

Sumber: myMetro



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan