Pelakon meningkat naik Fify Azmi berdepan detik cemas selepas resort tempatnya menginap di Pulau Perhentian, Terengganu dibadai ribut dan angin kencang berterusan baru-baru ini.
Dibadai ribut di Pulau Perhentian, Fify Azmi rasa nyawa bagaikan di hujung tanduk |
Menurut Fify, dia bersama kekasih hatinya yang juga pelakon Nafiez Zaidi ke pulau tersebut atas jemputan bagi ulasan berbayar resort tersebut untuk tempoh lima hari bermula 24 Februari.
“Kami sampai di Pulau Perhentian pada 24 Februari lalu dan sepatutnya pulang semalam. Tapi disebabkan ribut melanda tempat kami tinggal dan kawasan sekitar, Jabatan Laut Malaysia beritahu bot masih tidak dibenarkan untuk ke jeti Besut.
“Empat hari berturut-turut hujan lebat turun tapi paling teruk pada hari Jumaat dan Sabtu apabila tempat kami tinggal dibadai ribut. Jujur semasa kejadian, saya rasa nyawa bagaikan di hujung tanduk, reda sahaja apa akan berlaku ketika itu.
“Bayangkan hujan lebat sepanjang hari dengan angin kencang. Memang satu aktiviti outdoor (luar) pun kami dan pengunjung lain tak dapat lakukan. Tapi alhamdulillah hari ini bila cuaca dah okey, barulah bot dibenarkan untuk ke jeti,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon drama Ratu Tenpin itu bagaimanapun bersyukur kerana resort penginapananya sedikit terlindung daripada laluan ribut yang teruk melanda kawasan Long Beach di pulau Perhentian Kecil.
“Alhamdulillah tempat kami tinggal tiada kejadian buruk kecuali angin kuat menyebabkan ombak kuat dan kami terkandas tak boleh keluar dari kawasan tersebut.
“Bukan kami selaku orang luar je terkejut, orang tempatan dan penduduk asal pun terkejut dengan kejadian ini kerana sepatutnya hujung Februari sudah tiada ribut. Mungkin benda dah nak berlaku, syukur tiada kemalangan jiwa dalam kalangan 400 orang pengnjung yang terkandas ketika itu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, 32, turut menasihatkan sesiapa sahaja yang berhasrat bercuti ke kawasan pulau terutama di sebelah Pantai Timur agar menanguhkan terlebih dahulu kerana keadaan cuaca masih tidak menentu.
“Kalau ikutkan, pihak resort yang jemput kami pun tak jangka langsung akan jadi begini sebab tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mana-mana yang berhasrat nak ke pulau dalam masa terdekat kalau boleh tangguhkan dulu. Pergilah bulan April atau selepas raya nanti ke,” katanya.
Terdahulu, Fify ada memuat naik video berupa reels dalam Instagram memaparkan dirinya dan beberapa pengunjung lain yang terkandas disebabkan ribut dan hujan lebat berterusan melanda pulau peranginan terkenal itu. – Kosmo Online
0 Ulasan