Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Masih jalani rawatan kesuburan, Misha Omar puji kesabaran Siti Nurhaliza & Neelofa dapatkan anak

Menyedari ada segelintir wanita yang berhasrat menjadi ibu berkecil hati dengan perkongsian dirinya yang kini menjalani rawatan kesuburan IVF (persenyawaan in-vitro), penyanyi Misha Omar membuat permohonan maaf.

Masih jalani rawatan kesuburan, Misha Omar puji kesabaran Siti Nurhaliza & Neelofa dapatkan anak
Masih jalani rawatan kesuburan, Misha Omar puji kesabaran Siti Nurhaliza & Neelofa dapatkan anak

Misha, 40, tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan dan mengharapkan orang ramai mendoakan baik-baik agar hasratnya untuk hamil sekali lagi diperkenankan Allah SWT.

“Rawatan kesuburan memang saya dah teruskan dan sekiranya ada berita baik (sudah hamil), saya akan kongsikan kepada umum.

“Dulu saya kongsi secara terang-terangan, ada juga wanita yang sedang ‘struggle’ (berdepan kesusahan) untuk dapatkan anak terasa hati.

“Saya faham, apabila bercakap tentang usaha pencarian zuriat, semua orang mudah berasa sensitif. Tapi saya nak ingatkan, perkongsian saya sebelum ini hanya untuk mewujudkan kesedaran.

“Mungkin apa yang saya kongsikan sebelum ini melukakan hati mana-mana wanita yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan anak. Saya minta maaf, cuma saya nak ingatkan, artis atau bukan, kita semua berkongsi kesusahan sama,” katanya kepada Kosmo! Online usai persembahan makan malam amal Bunga-Bunga Cinta di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Sehubungan itu, Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar tidak mahu bercerita terlalu berlebih-lebihan demi menghormati perasaan wanita yang sedang berusaha keras untuk hamil.

Kata pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu lagi, proses kehamilan selebriti seperti Neelofa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza dijadikan inspirasi buat dirinya sepatutnya juga, buat para wanita lain.

“Saya juga nak cakap yang kalian tidak keseorangan. Saya puji pendekatan Neelofa. Dia diam sahaja tapi ‘know know’ Bilal keluar.

“Tengok juga betapa berjayanya Datuk Seri Siti Nurhaliza. Betapa sabarnya beliau melalui setiap kegagalan menunggu 11 tahun sehinggalah lahirnya Aafiyah,” tuturnya.

Menitipkan pesanan, jelas Misha, anak adalah rezeki daripada Ilahi tidak kiralah mereka lahir dari rahim sendiri atau sebaliknya.

“Anak sendiri ke atau anak angkat, tetap rezeki daripada Allah SWT.

“Jadi, saya harap, semua wanita terutama yang sedang usaha untuk hamil, jangan pandang benda yang boleh merosakkan mood kalian,” katanya.

Terdahulu, sekitar Oktober tahun lalu, Misha mendedahkan telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk menimang cahaya mata kedua.

Malah, Misha juga mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja kerana berhasrat memiliki anak perempuan.

Misha bertemu jodoh dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa yang kini berusia enam tahun.

Selain itu, Misha juga memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 16. – Kosmo Online



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan