Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Ibu dah tak datang lagi!...” kisah pilu 4 beradik ditinggalkan ibu di rumah perlindungan

SIMPATI dan kasihan, hanya itu sandaran buat Pengasas Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Camellia Ariffin, untuk terus memelihara empat beradik yang ditinggalkan ibu mereka dipercayai akibat masalah penagihan dadah.

Bayi dan kanak-kanak perempuan yang menghidapi beberapa komplikasi kesihatan kini dalam jagaan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh.
Bayi dan kanak-kanak perempuan yang menghidapi beberapa komplikasi kesihatan kini dalam jagaan Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh. - Foto: myMetro

Lebih menyedihkan, dua daripada empat beradik yang ditinggalkan ibu mereka di pusat perlindungan terletak di Larkin di sini itu memerlukan jagaan dan pemantauan khusus kerana menghidapi beberapa komplikasi kesihatan.

Camellia berkata, tiga daripada empat beradik itu yang berusia setahun, empat serta tujuh tahun menghuni rumah perlindungan di bawah seliaannya itu sejak empat bulan lalu, manakala seorang lagi anak wanita itu masih bayi berusia tiga bulan dan dihantar ke situ seminggu yang lalu.


Menurutnya, anak kedua wanita itu menghadapi memiliki masalah ketiadaan saluran najis dan terpaksa membuang najis menerusi vagina.

Katanya, doktor memaklumkan kanak-kanak perempuan itu yang mengalami keilatan berkenaan sejak lahir sepatutnya menjalani pembedahan sebelum ini.

"Kanak-kanak itu kerap batuk, selsema dan demam. Dia menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan diharap keilatan dialaminya pulih.

"Anak bongsu wanita berkenaan, bayi perempuan yang baru berusia tiga bulan pula disahkan mengalami masalah penglihatan iaitu mata sebelah kiri tidak berfungsi, masalah pendengaran dan dikhuatiri bisu. Bayi itu kini turut mendapatkan rawatan susulan di HSA," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bercerita lanjut, kali terakhir wanita itu datang ke rumah perlindungan terbabit seminggu lalu ketika meminta bantuan bagi menjaga bayinya dan mendakwa akan datang semula mengambil bayi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu sehingga kini tidak datang semula ke situ untuk mengambil bayinya berkenaan dan masih tidak dapat dihubungi.

Menurut Camellia, pihaknya masih berusaha mencari wanita terbabit bagi membincangkan masa depan keempat-empat cahaya matanya itu.

"Apa pun, saya ada hati dan perasaan, tidak akan membiarkan anaknya. Saya akan memberi perlindungan kepada empat beradik yang juga menjadi antara penghuni di pusat perlindungan ini.


"Saya meminta netizen bagi mendoakan kesihatan dua anak syurga (yang menghidapi komplikasi kesihatan) berkenaan," katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Larkin di sini seminggu lalu berhubung nasib keempat-empat anak itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 019-5480882 dan menyalurkan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Fitrah Qaseh.

Sumber: myMetro



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan