Bekas Miss California Carrie Prejean Boller menghulurkan wang tunai dan memuji orang ramai -- tua dan muda -- kerana tidak memakai pelitup muka |
“Memberi wang sebanyak AS$5 (RM20.91) kepada orang awam yang tidak mematuhi kezaliman peraturan pemakaian pelitup muka,’’ demikian kenyataan pada rakaman video tersebut.
Boller yang berkahwin dengan bekas pemain Bola Sepak Amerika Syarikat (NFL), Kyle Boller, pernah hangat diperkatakan pada 2009 apabila menentang perkahwinan gay semasa dia menyertai pertandingan ratu cantik Miss USA.
“Salah satu saat digemari saya hari ini, memuat naik lebih banyak video di Instagram Story yang memaparkan rondaan di sekitar bandar San Diego,’’ jelas kenyataan pada video berlainan yang menunjukkan dua wanita menanggalkan pelitup muka ketika berada di dalam sebuah kedai.
Klip video tersebut adalah salah satu daripada sebilangan mesej anti pelitup muka yang dimuat naik Boller sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pengguna laman sosial tersebut turut memberikan pandangan masing-masing dengan ada sesetengah menyokong tindakan wanita itu tetapi tidak kurang pula yang menyelar perbuatannya.
Ketika dihubungi majalah Rolling Stone untuk mendapatkan komen, Boller menyatakan keraguannya bahawa kanak-kanak berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.
“Boleh anda beritahu saya jumlah kes positif dan kes harian Covid-19 untuk rakyat Amerika Syarikat (AS) di bawah usia 18 tahun? Boleh anda beri data penting secara statistik berkaitan faedah memakai pelitup muka jenis perubatan atau kain?’’ katanya kepada Rolling Stone.
Data jabatan kesihatan negeri California dari sejak hujung Januari lalu menunjukkan 18.3 peratus kes positif Covid-19 terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dengan 75,000 kes harian pernah dicatatkan, demikian menurut Rolling Stone. – Agensi
0 Ulasan