Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Hanya kerana nak dapatkan telefon pintar, penyamun sanggup masuk rumah menetak mangsa

KOTA BHARU – Seorang lelaki hampir putus pergelangan kaki kirinya selepas ditetak dengan sebilah parang oleh lelaki bertopeng dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Bunut Rendang dekat Pasir Puteh semalam.

Hanya kerana nak dapatkan telefon pintar, penyamun sanggup masuk rumah menetak mangsa
Keadaan pergelangan kaki kiri mangsa hampir putus selepas ditetak dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bunut Rendang, Pasir Puteh semalam. Foto: PDRM

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang, mangsa yang berusia 27 tahun hampir putus pergelangan kaki kiri selain luka di bahu dan belakang badan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dan mini dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bersama rakannya di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, mereka didatangi seorang lelaki bertopeng, berpakaian hitam dan bersarung tangan yang bersenjatakan parang.

“Suspek bertindak masuk ke dalam rumah dan menetak mangsa sebelum mengambil telefon pintar termasuk barangan berharga miliknya.

“Semasa suspek keluar dari rumah, jiran mangsa yang berada di hadapan rumah melihat kejadian tersebut sebelum lelaki itu mengacukan sepucuk pistol ke arahnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shafien, suspek kemudian turut mengarahkan jiran yang merupakan seorang lelaki masuk ke rumah mangsa sebelum penyamun itu melarikan diri dengan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza.


Ujarnya, jiran mangsa terus menghubungi polis selepas kejadian itu sebelum rakannya membuat laporan pada hari yang sama.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian tersebut. Polis kini sedang giat mengesan suspek yang mencederakan mangsa,” katanya.

Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. – K! Online


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan