Banjir kilat menyebabkan beberapa lebuh raya di Lembah Klang mengalami kesesakan teruk. |
Insiden limpahan itu dikatakan berlaku pada 2 petang tadi di susur Batu Tiga sehingga menyebabkan jalan terpaksa ditutup demi keselamatan pengguna jalan raya.
Beberapa kenderaan termasuk lori cuba mengharungi air banjir, Kosmo melaporkan.
Seorang pengguna, Nurul Nazri Norrizan, 33, mengakui terkejut dengan situasi itu semasa dia dalam perjalanan menuju ke Petaling Jaya.
“Saya bertolak dari rumah adik di Pendamar, Klang yang merupakan antara lokaliti banjir. Sudah dua jam saya berada di tepi jalan lebuh raya (Lebuh Raya Persekutuan),” katanya.
Dalam pada itu, ribuan pengguna lebuh raya dari kedua-dua arah ke Shah Alam dan ke Kuala Lumpur terkandas susulan banjir di laluan Lebuh Raya Persekutuan petang tadi.
Kejadian itu berlaku susulan penutupan kecemasan Plaza Tol Shah Alam serta persimpangan lebuh raya berhampiran Stesen Komuter Batu 3.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Zakaria Ahmad Zabidi, berkata plaza tol berkenaan ditutup pada 2 petang tadi berikutan banjir kilat.
“Susur keluar mandatori telah diaktifkan di Plaza Tol Subang dan Seafield bagi trafik menghala ke arah selatan dan utara. Laluan masuk di laluan Bukit Raja dan Setia Alam menghala ke Shah Alam juga ditutup.
“Pengguna lebuh raya yang terputus hubungan antara Setia Alam dan Subang menghala ke Shah Alam serta Lebuh Raya ELITE dikehendaki membuat pusingan U kecemasan melalui akses sementara,” katanya.
Setakat ini lebih 3,500 mangsa banjir dibawa ke pusat pemindahan sementara setelah kediaman mereka digenangi air.
Dalam pada itu, hujan lebat berterusan lebih 24 jam sejak Jumaat mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan dua rumah di Kampung Sungai Merab Hulu, menyebabkan penghuni terlibat dinasihat mengosongkan rumah mereka.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati kawasan itu menempatkan empat rumah di tanah persendirian dan kejadian itu menjejaskan bahagian belakang dua rumah dengan anggaran kedalaman runtuhan setinggi 6m.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan 10:37 malam tadi berkata empat sungai utama di Kuala Lumpur sudah melepasi paras bahaya.
Empat sungai itu adalah Sungai Batu di Sentul, Sungai Klang di Tun Perak, Sungai Gombak di Jalan Tun Razak, dan Sungai Kerayong di Razak Mansion.
“Bersedia dengan segala kemungkinan banjir,” katanya di Twitter.
0 Ulasan