Dengan berbekalkan kelebihan 2 gol, Selangor berjaya menundukkan Terengganu dalam aksi pertama separuh akhir TM Piala Malaysia 2022 dengan jaringan 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam tadi.
Piala Malaysia, Selangor bergaya tundukkan Terengganu di aksi pertama separuh akhir |
Permainan intensiti tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan malam tadi, jelas menyaksikan kelebihan berpihak kepada Red Giants dengan rekod dan prestasi tinggi selepas pasukan dibimbing oleh bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pelawat menerusi sepakan percuma kapten Terengganu, Tchetche Kipre pada minit ke-19 yang berjaya menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid..
Gol tersebut nyata mengejutkan tuan rumah yang kembali memperkemaskan corak permainan dan mengatur gerakan memburu gol penyamaan.
Terengganu hampir menambah jaringan kedua berselang empat minit kemudian tetapi Khairuazhan lebih bersedia untuk menafikan rembatan dalam kawasan penalti dilakukan Manuel Ott.
Richmond Ankrah memastikan kedudukan kembali seimbang selepas tandukannya yang berpunca dari sepakan penjuru Mukhairi Ajmal Mahadi berjaya menewaskan benteng terakhir Terengganu, Suhaimi Husin untuk gol penyamaan pada minit ke-37.
Tidak cukup dengan gol tersebut, Selangor berjaya menembusi gawang Terengganu enam minit kemudian, apabila sepakan penjuru Mukhairi sekali lagi berjaya disudahkan dengan baik kali ini menerusi Herlison Caion, dengan melakukan ‘flying header’ menewaskan penjaga gol, Suhaimi Hussin.
Memasuki babak kedua, Selangor hanya memerlukan sembilan minit untuk memperolehi gol ketiga menerusi tandukan Shahrul Nazeem, juga menerusi sepakan sudut Mukhairi Ajmal pada minit ke-54.
Pelawat memiliki beberapa peluang untuk merapatkan jurang gol menerusi Kipre pada minit ke-66, namun tandukannya sedikit tersasar untuk melegakan kira-kira 14,000 penyokong tuan rumah.
Tuan rumah hampir memperolehi gol keempat pada minit ke-71, namun ketangkasan Suhaimi yang menafikan gerakan Caion dan Htet Aung memastikan gawang tidak dibocori.
Keputusan itu menyaksikan Selangor membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi aksi kedua, Isnin ini.
0 Ulasan