Mandalika, Indonesia - Hakim Danish Ramli mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama Malaysia yang merangkul gelaran juara keseluruhan Idemitsu Asia Talent Cup bagi musim 2022.
Hakim Danish meraikan kejayaan menjuarai Idemitsu Asia Talent Cup bagi musim 2022 di Mandalika, semalam. - Foto Bernama |
Biarpun hanya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam perlumbaan kedua di Litar Antarabangsa Mandalika di Indonesia hari ini, ia sudah memadai buat pelumba berusia 15 tahun itu untuk mengesahkan kejuaraannya musim ini.
Hakim Danish unggul apabila mengumpul keseluruhan 187 mata untuk mengatasi pelumba Jepun, Shinya Ezawa yang mengutip 177 mata ketika pencabar terdekatnya sekadar meraih tempat ketiga dalam perlumbaan hari ini.
Pada perlumbaan bersempena Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu, juara menjadi milik Veda Ega Pratama yang menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 141 mata.
Dia juga berjaya muncul juara dalam perlumbaan pertama semalam, yang menyaksikan Hakim Danish menduduki tempat ketiga dan Carter Thompson (Australia) melengkapkan podium di kedudukan kedua.
Pencapaian Hakim Danish yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu dibantu dengan kejayaan dia membolot kedua-dua gelaran juara pada perlumbaan di litar yang sama pada pusingan kedua Mac lalu.
Selepas itu dia berjaya muncul juara di pusingan keempat di Litar Antarabangsa Chang Thailand dalam perlumbaan pertama.
Dia juga meraih kejuaraan dalam perlumbaan kedua di pusingan kelima di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Sumber: Berita Harian
0 Ulasan