Seorang lelaki ditahan selepas membuat cubaan menyogok polis dengan memberi wang tunai RM90,000 supaya melepaskan rakannya yang terlibat dalam sindiket tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud, lapor Sinar Harian.
Wang tunai dan peralatan yang dirampas selepas seorang lelaki cuba menyogok polis. |
Kejadian berlaku semasa sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan di sebuah apartmen di Taman Suria, Johor Bahru pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, sogokan itu berlaku kerana suspek tidak mahu polis mengambil tindakan lanjut terhadap rakannya itu.
Tindakan itu telah ditegur dan diberi amaran oleh polis supaya ia tidak diteruskan, namun suspek dilapor terus mendesak supaya wang itu diterima mereka.
“Tangkapan dibuat dan wang tunai tersebut yang cuba diserahkan kepada polis turut dirampas.
“Kejadian ini berlaku di Taman Suria di sini dalam satu pertemuan antara suspek dan anggota polis terbabit.
“Kes ini dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya memetik Sinar Harian.
Difahamkan serbuan itu dibuat kerana apartmen tersebut dikatakan menjadi pusat panggilan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.
“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dan merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk berhubung dan memperdayakan mangsa,” ujar Kamarul Zaman.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mahu berjumpa polis di Taman Suria untuk sesi sogokan dan dorongan supaya tidak menahan rakannya.
“Semasa proses awal siasatan dijalani, pasukan serbuan telah menerima panggilan daripada suspek yang mengaku rakan kepada warga asing itu dan mahu berjumpa pihak polis terbabit di Taman Suria.
“Suspek kemudian menawarkan wang berkenaan sebelum diberkas kerana cuba merasuah pihak polis,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian
0 Ulasan