Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau penggunaan lampu ‘strobe light’ pada kenderaan persendirian yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya lain.
Pemilik kenderaan yang pasang lampu ‘strobe light’ boleh dipenjara |
Terdapat juga beberapa kes dimana pemilik kenderaan yang menggunakan lampu ‘strobe light’ ini mengambil kesempatan dengan berlagak seperti pegawai penguat kuasa ketika di atas jalan raya.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu ini dan pihak polis sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenal pasti.
“JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah ‘strobe light’ pada kenderaan persendirian adalah menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.
“Pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Jelasnya, menurut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada.
Sumber: Kosmo
0 Ulasan