Sebanyak 12,105 kes baharu dilaporkan setakat semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 4,280,591 kes dengan lebih separuh atau 54.7 peratus kes membabitkan individu tidak bergejala.
Menerusi laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah jangkitan baharu yang dikesan sebanyak 12,062 kes adalah penularan tempatan dengan 43 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Memperincikan mengenai pertambahan kes di setiap negeri, data berkenaan menunjukkan Selangor menjadi negeri paling tinggi melaporkan jumlah kes baharu iaitu sebanyak 6,783 kes.
Ia diikuti Negeri Sembilan dengan 826 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (733), Perak (622), Pulau Pinang (508), Johor (426), Terengganu (416), Sarawak (415), Kedah (400) dan Pahang (320).
Selain itu ialah Melaka dengan 206 kes baharu, Sabah (188), Kelantan (150), Wilayah Persekutuan Putrajaya (54), Perlis (41) dan Wilayah Persekutuan Labuan (17).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan semalam, sebanyak 54.7 peratus atau 6,623 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori satu atau tidak bergejala.
“Selain itu sebanyak 5,387 kes (44.5 peratus) adalah dalam kategori dua, kategori tiga (40 kes), kategori lima (38) dan kategori empat (17). Secara keseluruhannya daripada 95 kes kategori tiga hingga lima itu sebanyak 57 kes atau 60 peratus membabitkan individu yang mempunyai komorbid.
“Ia diikuti 53.68 peratus atau 51 kes dalam kalangan individu berusia 60 tahun keatas, sudah menerima dos penggalak (37 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (30) dan tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (28),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat 162,216 kes yang masih aktif di negara ini, daripada jumlah berkenaan 97.6 peratus atau 158,343 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selain itu terdapat 3,279 kes pula kini sedang mendapatkan rawatan di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (373), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (122) dan ICU (99).
Dalam pada itu terdapat 32 kes kematian yang dilaporkan setakat semalam termasuk sembilan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID). Pertambahan kes kematian itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 35,192 kematian dilaporkan akibat jangkitan COVID-19.
Perincian bagi kes kematian ialah, Selangor dan Johor masing-masing mencatatkan tujuh kes kematian, diikuti Perak (lima), Terengganu (empat), masing-masing tiga kes di Kedah dan Melaka serta masing-masing satu kes dilaporkan di Negeri Sembilan, Perlis, dan Kuala Lumpur.
Bagi perkembangan kes sembuh di negara ini, setakat semalam sebanyak 21,029 individu sudah pulih daripada jangkitan berkenaan. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini meningkat kepada 4,083,183 kes.
0 Ulasan