KYIV: Rundingan awal antara Rusia dan Ukraine berakhir tanpa keputusan petang semalam, dengan kedua-dua delegasi itu kembali ke ibu negara masing-masing selepas rundingan di lokasi yang ditentukan untuk pertemuan di Belarus, lapor New York Times.
Delegasi Rusia di sebelah kiri dan delegasi Ukraine di sebelah kanan semasa rundingan di wilayah Gomel, Belarus, semalam. - Foto AGENSI |
Menurut anggota delegasi Ukraine, Mihailo Podolyak, Kyiv sedang mencari penyelesaian gencatan senjata di Ukraine serta menamatkan persengketaan.
"Kedua pihak mengenal pasti beberapa topik yang menjadi keutamaan di mana penyelesaian tertentu sudah digariskan.
"Ini kerana kami mahu mendapatkan beberapa peluang pelaksanaan dan penyelesaian logistik, dengan kedua pihak kembali ke ibu negara masing-masing untuk berunding," katanya selepas rundingan tamat.
Pentadbiran Kremlin mahu tuntutan keselamatannya diambil kira 'tanpa syarat', kata Presiden Vladimir Putin kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika rundingan sedang dijalankan.
Itu termasuk pengiktirafan kedaulatan Rusia ke atas Crimea dan membawa keluar tentera dan membebaskan negara Ukraine serta memastikan status neutralnya, yang bermakna ia melepaskan hak untuk menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bekas menteri kebudayaan, Vladimir Medinsky, yang mengetuai delegasi Russia, berkata kedua-dua pihak 'menemui asas tertentu di mana kedua-duanya boleh meramalkan kedudukannya.
Beliau berkata, pertemuan seterusnya akan berlangsung di sempadan Ukraine-Belarus dalam ' beberapa hari akan datang'.
Selepas rundingan berakhir, Podoloyak menerusi twitter mengkritik lawannya dengan mengatakan, 'Malangnya, Russia masih sangat berat sebelah berhubung proses memusnahkan yang dilancarkannya'.
Semalam, berpuluh-puluh orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan roket Russia ke atas bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv.
Ketika rundingan diumumkan selesai untuk hari itu, letupan juga kedengaran di Kyiv.
Ketika rundingan sedang berjalan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menandatangani permohonan untuk menjadi ahli dalam Kesatuan Eropah (EU).
Terdahulu pada hari itu, dalam ucapan penuh semangat, beliau menggesa blok 27 anggota itu untuk membuka laluan pantas kepada penyertaan negaranya.
"Kami merayu kepada EU untuk membenarkan penyertaan segera Ukraine di bawah prosedur khas baharu.
"Matlamat kami adalah untuk berdiri bersama semua rakyat Eropah dan yang paling penting, untuk berdiri pada tahap mereka," katanya dalam siaran video dari ibu negara, Kyiv. - AGENSI
0 Ulasan