Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun dari kereta rasmi bagi bertanyakan keadaan seorang polis pengiring yang terlibat dalam kemalangan kecil di Pekan Benut, Pontian di Johor.
Perdana Menteri prihatin keluar kereta, bantu polis pengiring terlibat kemalangan kecil di Pontian [Foto: FB Bernama] |
Dua polis pengiring kepada Perdana Menteri yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas pagi ini mengiringi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya mengalami kecederaan kecil.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pelanggaran kecil itu melibatkan motosikal jenis Kawasaki GTR dan Honda ST yang berlaku di persimpangan Pekan Benut pada pukul 9.55 pagi.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal pengiring pertama berhenti di persimpangan itu bagi tugasan penolakan kenderaan, sebelum tiba-tiba motosikal pengiring kedua tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
“Kerosakkan yang dialami melibatkan kotak tepi sebelah kiri pecah, bar penahan sebelah kiri bengkok manakala kecederaan anggota adalah di bahagian kaki kiri bagi pengiring pertama.
“Pengiring kedua pula mengalami luka-luka kecil, sakit di seluruh badan termasuk bahagian pinggang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Benut bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Perdana Menteri yang tiba selepas itu telah turun bagi melihat keadaan anggota polis terbabit sebelum meneruskan perjalanan ke Komplek Muafakat Sungai Pinggan setelah keadaan terkawal.
Ismail Sabri ketika itu dalam perjalanan untuk menghadiri Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit @ Pontian yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sumber: Utusan Online
0 Ulasan