KADAR agihan keuntungan Tabung Haji 2022 (untuk tahun kewangan 2021) dan tahun-tahun terdahulu. Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) menikmati pendapatan / keuntungan tahunan untuk simpanan di dalam akaun Tabung Haji mereka. Pendapatan ini dikenali sebagai Hibah Pendeposit Agihan Keuntungan.
Bermula 2019 Tabung Haji memberi pulangan kepada pendeposit dalam bentuk Agihan Keuntungan, bukan lagi Hibah.
Pengumuman dan pembayaran Agihan Keuntungan TH biasanya dibuat pada suku pertama setiap tahun (Jan - Mac). Bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit.
Berbeza dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB), simpanan serta bonus di dalam Tabung Haji telah siap ditolak zakat, jadi dividen dan bonus TH bolehlah dianggap sebagai untung bersih tahunan.
Ringkasan:
- Agihan keuntungan 2021 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan (iaitu, 2.36 peratus) dan zakat juga telah diambil kira untuk dilunaskan bagi pihak pendeposit.
- TH memperuntukkan RM107 juta untuk melunaskan zakat bagi pihak pendeposit bagi tahun 2021.
- Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Disember 2021.
- Jumlah Aset pada RM88.73 bilion dan jumlah Deposit pada RM83.33 bilion merupakan yang tertinggi di dalam sejarah TH selama 59 tahun.
Kadar Agihan Keuntungan Dividen Dan Bonus
Berikut adalah senarai peratusan pendapatan pendeposit Tabung Haji sejak tahun 1994 sehingga kini untuk tatapan dan perbandingan.
Sebelum dikenali sebagai Agihan Keuntungan mulai tahun 2019, pendapatan pendeposit Tabung Haji adalah dalam bentuk hibah dan terpecah dua iaitu Hibah Tahunan dan Hibah Haji. Terdahulu daripada itu ia dikenali sebagai dividen dan bonus Tabung Haji.
Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember |
Kadar Agihan Keuntungan / Hibah (%) | Kadar Hibah Haji (%) |
---|---|---|
2021 | 3.10 | --- |
2020 | 3.10 | --- |
2019 | 3.05 | --- |
2018 | 1.25 | --- |
2017 | 4.50 | 1.75 |
2016 | 4.25 | 1.50 |
2015 | 5.00 | 3.00 |
2014 | 6.25 | 2.00 |
2013 | 6.00 | 2.00 |
2012 | 6.50 | 1.50 |
2011 | 6.00 | Tiada |
2010 | 5.50 | Tiada |
2009 | 5.00 | Tiada |
2008 | 5.00 | Tiada |
2007 | 5.00 | 2.00 |
2006 | 4.75 | Tiada |
2005 | 4.50 | Tiada |
2004 | 4.30 | Tiada |
2003 | 4.00 | Tiada |
2002 | 3.50 | Tiada |
2001 | 3.25 | Tiada |
2000 | 5.50 | Tiada |
1999 | 8.00 | Tiada |
1998 | 8.00 | Tiada |
1997 | 9.50 | Tiada |
1996 | 9.50 | Tiada |
1995 | 9.50 | Tiada |
1994 | 9.50 | Tiada |
Pengiraan Dividen & Bonus
Agihan Keuntungan Pendeposit Tabung Haji dikira untuk tempoh tahun kewangan bermula Januari hingga Disember setiap tahun. Cara kira Agihan Keuntungan TH adalah seperti berikut:
- Agihan Keuntungan Tahunan (dividen) dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit bagi tahun kewangan akaun, yakni:
Baki purata minima bulanan x Kadar Agihan Keuntungan Tahunan
- Hibah Haji adalah bonus khas yang diberi kepada para pendeposit TH yang belum pernah menunaikan haji sahaja. Kadarnya dikira ke atas baki purata minima bulanan namun terhad kepada kos menunaikan haji semasa (buat masa ini nilainya RM9,980), yakni:
Baki purata minima bulanan x Kadar Hibah Haji
Semakan Pengkreditan Agihan Keuntungan
Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan menerusi rakan-rakan strategik TH:
- Kaunter-kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat
- Di ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB, atau
- Secara dalam talian menerusi THiJARI dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB dan AmBank.
Semakan pengkreditan Agihan Keuntungan TH 2021 boleh dibuat mulai 27 Februari 2022.
Sumber: Tabung Haji
0 Ulasan