SETIAP kali tiba waktu solat, kedai menjual permainan dan barangan bayi milik pasangan suami-isteri berbangsa Cina ini menjadi tumpuan tetapi bukan kerana hendak membeli barang sebaliknya menumpang solat.
Pemilik permis bangsa Cina ubahsuai ruang niaga jadi surau, beri kemudahan pelanggan Islam solat |
Premis yang terletak di Pandan Kapital, Pandan Indah Kuala Lumpur itu menyediakan surau lelaki dan wanita lengkap dengan tempat mengambil wuduk bagi memudahkan pelanggan dan orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah itu mengerjakan solat.
“Niat asal kerana ingin memudahkan pekerja saya solat tetapi tidak sangka pula surau itu mendapat perhatian bukan sahaja pekerja di pusat beli-belah ini tetapi pengunjung pusat beli-belah yang datang.
Surau dibina sejak 13 tahun lalu
Pemilik kedai tersebut, Lee Chee Win dan Yong Siew Ching berkata, surau itu dibina sejak 13 tahun lalu yang pada awalnya untuk memudahkan pekerjanya menunaikan solat tanpa perlu keluar ke surau atau masjid yang jaraknya lebih jauh.
Lee, 63, berkata, sejak itu juga surau tersebut mula menjadi tumpuan pelanggan dan pekerja pusat beli-belah itu yang ingin tumpang solat sebelum dia dan isterinya mengambil keputusan membukanya kepada orang ramai.
“Sudah tentu saya gembira surau yang kami buat itu boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai orang dan bersyukur dapat bantu orang Islam solat apabila masuk waktu,” katanya yang menjalankan perniagaan di situ sejak tahun 2000. Saya tidak pernah menganggap kedatangan mereka untuk solat sebagai menggangu perniagaan kami.
Ubah suai dari ruang jualan
Lee memberitahu surau yang dibina itu asalnya adalah tempat mempamerkan barang jualan, namun mengambil keputusan mengubahnya kepada dua bilik untuk menempatkan surau lelaki dan wanita.
Pasangan Lee dan Yong, di depan permis perniagaan mereka, didalamnya ada ruang solat untuk pelanggan Islam menunaikan kewajipan. |
Boleh memuatkan dua ke tiga orang pada satu-satu masa, Lee memberitahu dia turut membina tempat mengambil wuduk selain meletakkan tirai mandi untuk menjaga aurat kaum wanita.
“Tiga tahun lalu saya buat pengubahsuaian pada lantai yang sebelum ini menggunakan karpet kepada jubin kerana lebih mudah dijaga dan diselenggara.
Tidak hanya ruang solat, pasangan ini turut membina tempat mengambil wuduk. “Saya juga sediakan kelengkapan solat seperti sejadah, kain pelikat dan telekung bagi memudahkan pengunjung,” ujarnya.
Meskipun negara sedang dilanda pandemik, Lee berkata, mereka tetap membuka surau itu namun menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak.
Malah orang ramai yang menggunakan surau itu juga patuh dengan SOP, malah akan beratur menunggu giliran selain membawa kelengkapan solat sendiri.
Tak pernah rasa terganggu
Sementara itu, Yong, 52, pula memberitahu dia tidak pernah berasa terganggu apabila kedainya sering didatangi orang ramai yang ingin menggunakan surau berkenaan setiap kali masuk waktu solat.
Sebaliknya menganggap hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama perlu saling bantu-membantu serta bertolak ansur agar semua dapat hidup dalam harmoni.
“Saya tidak pernah menganggap kedatangan mereka untuk solat sebagai mengganggu perniagaan kami. Jika ya, sejak awal kami tidak buka surau itu untuk kegunaan awam. Apa kami lakukan ini adalah berasaskan rasa hormat dan ingin memudahkan orang beragama Islam menunaikan solat,” ujarnya.
Ambil anak angkat Melayu
Yong berkata, dia sebenarnya cakna tentang agama Islam memandangkan dia mempunyai seorang anak angkat berbangsa Melayu dikenali sebagai Nik Aliza Abdullah yang kini berusia 37 tahun.
Yong berkata, dia mengambil wanita berasal dari Terengganu itu sebagai anak angkat sejak 20 tahun lalu memandangkan anaknya itu tinggal sebatang kara di Kuala Lumpur.
Yong mengambil wanita berasal dari Terengganu, Nik Aliza sebagai anak angkat |
“Nik Aliza pernah bekerja dengan saya ketika dia mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Orangnya sangat baik dan saya berasa kasihan apabila melihatnya hidup sebatang kara di bandar besar ini.
“Sejak itu saya mengambilnya sebagai anak angkat dan menjaganya sehingga dia kini sudah pun berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata,” katanya yang mempunyai tiga anak kandung.
Jelasnya lagi, sejak anak angkatnya itu hadir dalam hidup mereka sekeluarga, Nik Aliza banyak mengajarnya tentang agama Islam malahan mereka sekeluarga turut berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan.
Anggap seperti cucu sendiri
Malah tiga anak Nik Aliza juga dijaga olehnya dan tidak pernah menganggap cucunya itu sebagai orang luar.
Baca juga:
Hoi Lan besarkan ‛anak’ cara Islam, Tak sampai hati tinggalkan anak yang dijumpainya
SUDAH jatuh ditimpa tangga. Begitulah kisah seorang gadis remaja apabila ditinggalkan oleh ibu kandungnya pada usia 2 bulan di sebuah tadika di tem…
Baca selengkapnya“Saya sayang mereka macam cucu sendiri malah mereka cukup rapat dengan kami sekeluarga… Ketiga-tiga mereka juga fasih berbahasa Mandarin dan Hakka. Tahun Baru Cina pun kami berkumpul bersama dan mereka cukup teruja dapat berjumpa dengan tiga lagi sepupu mereka yang lain.
“Saya tidak pernah melihat perbezaan agama atau kaum sebagai masalah sebaliknya kasih sayang dan hormat menghorm4ti sesama manusia itu jauh lebih penting,” katanya.
Sumber: mStar
0 Ulasan