PASIR MAS – Seorang ibu yang sedang sarat mengandung sembilan bulan maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam kemalangan di Kampung Banggol Stol Repek di sini semalam.
Bayi dalam kandungan Nor Haliza terkeluar daripada rahimnya selepas kemalangan di Kampung Banggol Stol Repek, Pasir Mas petang semalam. FOTO MEDIA SOSIAL |
Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bayi di dalam kandungannya keluar daripada rahim selain mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, nahas itu turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal iaitu Muhamad Shakim Mohd. Zaki,18.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave dengan membonceng anak perempuannya, Nurul Iman Maisara Mohd. Khairi,6, sambil mengekori motosikal suaminya ke kedai runcit.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Yahama Y15 yang ditunggang oleh Muhamad Shakim dipercayai telah memasuki laluan Nor Haliza.
“Insiden itu menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung sehingga bayi di dalam kandungan Nor Haliza terkeluar daripada rahimnya.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala bayi itu masih lagi bernyawa selepas kemalangan, namun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, selain itu, Muhamad Shakim yang turut dibawa ke unit kecemasan hospital sama juga disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 malam semalam.
Menurutnya, seorang lagi anak mangsa, Nurul Iman Maisara yang membonceng motosikal bersama wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala selain luka di tangan dan muka.
Katanya, Nurul Iman Maisara kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Kosmo Online
0 Ulasan