Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam nahas di kilometer 22.2 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson pagi tadi. |
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, Muhammad Zulfikri Mohd. Zailani, 22, yang duduk di sebelah pemandu meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu, Muhammad Fawwaz’aqil Zailani, 25, patah tulang belakang.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Telok Kemang menghala Seremban.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam parit menyebabkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian.
“Pemandu pula mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia beralamat di Kampung Sungai Raya, Batu 19, Cheras, Selangor manakala pemandu yang cedera parah beralamat di Taman Pelangi, Sentul, Kuala Lumpur.
Jelas beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - K! ONLINE
0 Ulasan