Tangkap layar video memaparkan seorang wanita menuduh mangsa mabuk selepas lori dipandu lelaki itu merempuh tiga buah kenderaan. |
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya telah terkesan satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki tempatan telah terlibat dengan satu kemalangan bersama tiga buah kenderaan.
“Pemandu lori tersebut dipercayai sakit dada menyebabkan lori dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan di lokasi sekitar pukul 10.45 pagi.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang dikenali Ahmad Sukri Abd Samad berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada pukul 12.09 tengah hari semalam dan punca kematiannya adalah ‘Myocardial infacrtion’ atau serangan jantung,” ujarnya.
Jelas beliau, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati waris dan keluarga mangsa.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, video berdurasi 48 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita menuduh pemandu lori terbabit mabuk selepas melanggar beberapa buah kenderaan di lokasi.
Salah seorang rakan mangsa menerusi satu perkongsian klip video di laman aplikasi TikTok dikenali Siva menjelaskan rakannya itu terkena serangan jantung dan sudah meninggal dunia.
Berikutan itu, pengguna media sosial mendesak wanita terbabit memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas tuduhan yang tidak berasas itu. – K! ONLINE
0 Ulasan