Penduduk terpaksa mengusung jenazah merentasi sungai berkenaan kerana jambatan runtuh akibat banjir |
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurut Jalaluddin, sebelum ini, jalan untuk ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Rotan ini dihubungkan oleh dua buah jambatan.
“Pada bulan Mei tahun lalu, jambatan yang pertama telah runtuh akibat dilalui lori yang lebih muatan.
“Sejak jambatan itu runtuh, permohonan untuk jambatan dibina semula kepada kerajaan negeri telah dilakukan.
“Saya dapat maklumat sudah terdapat kontraktor yang dilantik untuk bina semula jambatan itu, namun sehingga ke saat ini tidak ada sebarang kerja-kerja pembinaan yang dilakukan,” kongsinya.
Jelas beliau, keadaan ketika itu tidak terlalu mendesak kerana terdapat satu lagi jambatan alternatif yang merentasi sungai untuk ke tanah perkuburan tersebut.
“Tapi Allah itu Maha Besar. Perancangannya lebih baik daripada perancangan manusia. Ditakdirkan Tuhan, jambatan alternatif itu juga telah runtuh akibat bencana banjir tempoh hari.
“Dan ini adalah kes kematian pertama yang terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan tersebut setelah ketiadaan kedua-dua jambatan perhubungan itu,” kongsinya. - K! ONLINE
0 Ulasan