Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Banyak kenderaan tenggelam, keadaan banjir teruk di Seksyen 25, Shah Alam

SHAH ALAM - Paras air di kebanyakan kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini masih lagi tinggi meskipun cuaca panas terik hari ini. Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan di sini mendapati paras air di beberapa tempat berbeza, walaupun sudah ada tempat yang sudah surut.

[video] Keadaan banjir teruk di Seksyen 25, Shah Alam

Bagi kawasan perumahan di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda dan Pangsapuri Kos Rendah Taman Sri Muda air berada pada paras dada iaitu kira-kira satu meter sehingga menyebabkan aras bawah rumah teres dua tingkat dan pangsapuri tenggelam.

Ratusan kenderaan termasuk trak pikap turut tenggelam air.

Pasukan keselamatan terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengharungi banjir menggunakan bot manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian pula meredah banjir menggunakan bot serta kayak.

Menurut ahli kelab kayak air Sg Adventure, Mohd. Shahril Mislan, 33, dia dan beberapa kelab kayak lain terdiri daripada 30 ahli menyertai operasi menyelamat sejak awal pagi ini.

“Kami tiba di sini dari Ipoh pukul 12 tengah malam dan terus melakukan operasi menyelamat sehingga kini. Alhamdulillah, kami berjaya menyelamatkan kira-kira 100 mangsa banjir termasuk dua bayi,” katanya.

Terdapat segelintir mangsa banjir yang tidak mahu mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald.

Mangsa, M. Manmohan, 34, berkata, dia enggan berpindah kerana merasakan kediamannya di tingkat tiga Pangsapuri Kos Rendah Taman Sri Muda masih lagi selamat.

“Emak dan nenek tinggal dengan saya. Mereka tidak mampu untuk turun kerana sudah uzur. Jadi, rasanya lebih selamat mereka berada di sini. Cuma saya harap pasukan keselamatan hantar bekalan makanan kepada kami,” katanya. – K! ONLINE



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan