Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Hasrizal Shaari memaklumkan, sekiranya muntah paus seberat lima kilogram yang ditemui seorang wanita baru-baru ini merupakan muntah puas yang tulen, ia bernilai kira-kira RM500,000.
Bagaimanapun, bagi memastikan objek itu tulen atau sebaliknya, pihaknya perlu melakukan kajian terperinci. Ketika ini, pihaknya sedang menunggu sampel objek tersebut dari Jabatan Perikanan Negeri. Kajian dan ujian yang dijalankan pada objek tersebut mengambil masa kira-kira seminggu.
"Jika ia (muntah paus) tulen dan berkualiti tinggi, nilai dengan berat yang dikatakan lima kilogram itu, ia dianggarkan bernilai sekitar RM500,000.
"Setakat Januari lalu sehingga kini, kita sudah melakukan analisa membabitkan 18 sampel, namun semuanya didapati tidak tulen.
"Saya juga teruja untuk melakukan ujian terhadap sampel muntah paus yang ditemui di perairan Marang itu," katanya.
Selain menunggu sampel tersebut, pihaknya juga sedang menunggu beberapa sampel lain yang dipercayai muntah paus yang ditemui di perairan negara bagi menentukan ketulenannya. Muntah paus yang bernilai tinggi mempunyai tiga bahan utama, ambrein 25%-45%, epicoprosterol 30%-40% dan coprostanone 3%-6%.
Sekiranya objek tersebut tidak mempunyai tiga bahan aktif berkenaan, ia langsung tidak bernilai dan tidak berharga di pasaran.
Sumber: Harian Metro
0 Ulasan