Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Tak guna kekalkan saya sebagai guru jika KPM tak berubah...” kata Cikgu Fadli

Mohd Fadli Salleh, seorang guru Matematik menegaskan, “Tiada guna kekalkan kerjaya saya sebagai guru tetapi KPM (Kementerian Pendidikan) tidak berubah. Tak guna satu sen pun...”

“Tak guna kekalkan saya sebagai guru jika KPM tak berubah...” kata Cikgu Fadli
Dalam siaran langsung di akaun Facebook miliknya, guru matematik Mohd Fadli Salleh mendakwa KPM dipandang rendah oleh rakyat dan guru.

Guru matematik itu berkata, bukan sahaja dirinya, malah semua guru serta pegawai pendidikan peringkat daerah dan negeri yang ikhlas bekerja mahukan KPM berubah dan sedia menerima teguran.

“Tak ada guna esok (hari ini) mesyuarat Lembaga Tatatertib kata tak kenakan tindakan apa-apa pada Cikgu Fadli. Tak ada apa-apa dan dia dianggap tidak bersalah.

“Teruskan bersuara tapi tak ada ubah apa-apa. Tak ada gunanya selamatkan kerjaya saya tanpa perubahan di peringkat KPPM (ketua pengarah pendidikan Malaysia).

“Satu sen tak ada guna. (Saya) nak jadi hero ke? Menteri tak ambil tindakan atas Cikgu Fadli, lepas itu (lantik) jadi ‘think tank’ untuk kementerian. Saya tak nak benda itu.

“Perlu ada perubahan dalam KPM, nun di pucuk kepimpinan di atas. Daripada KSU (ketua setiausaha kementerian), KPPM sampai ke pengarah jabatan itu, ini dan sebagainya,” katanya dalam siaran langsung di Facebook malam tadi.

Pagi ini, Jawatankuasa Disiplin KPM dijangka bersidang bagi membincangkan isu membabitkan Fadli, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak.

Lewat petang semalam, KPM memuat naik video oleh Ketua Pengarah Pendidikan Pkhairuddin Ghazali yang menjelaskan bahawa tindakan belum diambil terhadap Fadli.

Isu membabitkan Fadli itu turut mendapat ulasan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob.

“Insya-Allah apa yang digambar dalam surat itu tidak akan berlaku. Saya tak nak mendahului jawatankuasa disiplin dipengerusikan KSU (Ketua Setiausaha KPM Yusran Shah Mohd Yusof), tetapi insya-Allah, perkara yang positif akan dapat kita dengar esok selepas mesyuarat,” katanya.

Fadli sebelum ini mencuri tumpuan ramai selepas beliau mendedahkan menerima surat rasmi Lembaga Tatatertib yang menyatakan dirinya berdepan tindakan “buang kerja atau turun pangkat”.

Ini gara-gara Fadli mempersoalkan isu beg berat, tahap silibus matematik terlalu tinggi dan bilik darjah padat, selain banyak lagi isu dalam pendidikan.

Natijahnya, KPM menjadi mangsa kecaman dan sindiran warganet yang sedia tidak berpuas hati dengan isu pendidikan negara – isu sama diutarakan Fadli.

“Hari ini, KPM dipandang rendah oleh rakyat Malaysia sendiri. Dipandang rendah oleh guru-guru Malaysia sendiri,” kata Fadli.

“Ketahuilah majoriti guru menyokong saya, cuma mereka tidak boleh bersuara. Banyak bahkan pegawai-pegawai di KPM, Putrajaya, JPN dan PPD pun ramai sokong saya. Tapi mereka terikat dengan peraturan akta penjawat awam.

“Jadi, jika ditakdirkan tuhan, biarlah terkubur kerjaya saya asalkan KPM berubah.”

Menerusi sesi siaran langsung berdurasi 1 jam 35 minit itu, Fadli turut mencadangkan agar pendidikan diasingkan daripada politik.

“Jangan atur orang untuk jawatan-jawatan tertentu. Pastikan mereka layak, mereka berjiwa guru. Matinya satu jiwa guru, ruginya berjiwa-jiwa ke depan”.

Sumber: Free Malaysia Today


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan