Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Kami diselamatkan selepas beberapa kali laungkan azan...” kata mangsa bot karam di Langkawi

Selepas beberapa kali melaungkan azan, akhirnya mangsa bot karam terdiri daripada 14 pemancing dan empat kru di perairan Pulau Beras Basah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan kira-kira 7.30 malam, semalam.

Mangsa bot karam Langkawi (Gambar Maritim Malaysia
Mangsa bot karam Langkawi (Gambar Maritim Malaysia)

Mangsa, Mohd Syahrin Samsudin, 43, berkata sebelum itu terdapat beberapa bot lain melalui kawasan sama namun tidak nampak mereka semua terapung di permukaan air.

“Selepas beberapa kali melaungkan azan, akhirnya bot nelayan yang lalu di kawasan berhampiran nampak kami terapung lalu datang memberikan bantuan.

“Sebelum itu, ada juga bot yang lalu tetapi tidak nampak kami. Mungkin belum terbuka hijab ketika itu,” kata pemancing itu, menurut laporan Berita Harian.

Syahrin dari Perlis adalah antara pemancing serta kru yang berdepan detik cemas lebih lima jam selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Beras Basah, Langkawi semalam.

Sepanjang tempoh terapung di laut, katanya, beliau berusaha sedaya upaya untuk terus bertahan.

“Ketika itu, saya hanya memikirkan cara untuk terus bertahan dengan mengingati balik perkara yang pernah dipelajari, termasuk kaedah menenangkan rakan-rakan yang semua dalam keadaan panik,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, bot yang membawa 14 pemancing serta empat kru terbabit dilaporkan bocor sebelum karam akibat dipukul ribut.

Bercerita lanjut, Syahrin berkata, selepas lebih lima jam terapung di laut, keadaan semakin gelap namun mujur awak-awak dari bot nelayan itu melambai ke arah mereka.

“Ketika itu, keadaan sekitar hampir gelap kira-kira jam 7.30 malam, namun kami bernasib baik apabila awak-awak dari sebuah bot melambai sebelum saya membalas dengan cahaya lampu suluh.

“Saya lega apabila bot (pukat tunda) menyalakan semula lampu ke arah kami, maknanya ada respons daripada mereka,” katanya.

Syahrin berkata, beliau bersama 13 rakan pemancing berada di laut selama dua malam selepas keluar dari Jeti Kuala Perlis untuk memancing pada pagi Khamis.

Sebelum kejadian, katanya, mereka yang menyertai trip memancing selama empat hari tiga malam, merancang mengubah ke tempat baharu untuk memancing, semalam, dan dijangka tiba di Kuala Perlis, pagi ini.



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan