‘Unboxing pengantin’: “Secara jujur saya memang tidak tahu akan jadi tular seperti ini..” |
Usahawan, Amy Yusuff juga antara pasangan yang melakukan trend tersebut serta memuat naik di laman TikTok serta videonya telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai dan rata-rata mengecam tindakannya bersama suami.
“Saya muat naik video itu pada sebulan yang lalu selepas selesai sesi bergambar selepas majlis akad nikah saya dan suami.
“Rakaman itu dibuat di dalam bilik, dan terus dimuat naik di TikTok tanpa melihat semula komen yang diberikan oleh pengguna yang lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Amy, sebelum rakaman dibuat, seorang kenalan rapatnya memberi cadangan agar melakukan video seperti itu di TikTok itu dan mengatakan ia adalah trend terkini yang dilakukan oleh pasangan pengantin baharu.
“Secara jujur saya memang tidak tahu bahawa ia akan menjadi tular seperti ini, sebab saya hanya orang biasa dan tidak ada siapa kenal.
“Trend tersebut juga saya baru tahu kewujudannya apabila diberitahu oleh kenalan rapat yang memberi cadangan kepada saya dan suami untuk buat,” ujarnya.
Jelasnya, rakaman tersebut bertujuan sebagai kenangan kerana itu merupakan video pertamanya bersama suami selepas dinikahkan dan ingin menyimpannya di media sosial untuk tatapan akan datang.
“Tak sangka pula ia memberi kesan buruk kepada orang yang menonton, dan saya juga mengaku silap saya sendiri mungkin disebabkan kapsyen yang ditulis pada video itu mengundang kepada pemikiran negatif orang lain.
“Saya dan suami mengambil perkara ini sebagai pengajaran kepada kami agar lebih berhati-hati dengan setiap perbuatan dan kata-kata kami sendiri,” katanya lagi.
Baca juga:
1: [Video] Pengantin baru jadikan ‘Unboxing by Husband’ trend terkini, Cikgu beri komen pedas
2: Trend unboxing pasangan: jangan jadi suami ‘dayus’ — nasihat bekas Menteri Agama
Sementara itu, Amy turut memaklumkan bahawa pihak keluarganya dan mertua tidak menyalahkan dirinya dan suami atas perkara yang semakin tular di media sosial ketika ini.
“Keluarga saya dan keluarga mertua tak ada kata apa-apa dan tidak juga salahkan kami, mereka faham dan bagi saya video itu tidaklah keterlaluan dan pakaian kami juga masih sopan,” katanya.
Susulan dari kecaman yang diterima, Amy bertindak menutup ruangan komen di media sosialnya agar tidak menerima kata-kata negatif yang mungkin akan memberi tekanan kepadanya pada masa akan datang.
Usahawan muda itu berharap agar orang ramai diluar sana tidak lagi memberikan kata-kata yang kesat berhubung perkara itu dan sebaiknya mendoakan kebahagiaan dia dan suami serta pasangan yang lain. – K! ONLINE.
0 Ulasan